Tuesday, October 13, 2009

Auranya tetap gah!

Oleh Farihad Shalla Mahmud

farihad@bharian.com.my

Lebih empat dekad di persada seni, Sharifah Aini masih unggul SEANDAINYA dilahirkan sebagai bintang, beliaulah kejora yang memancarkan sinaran terang benderang. Jika lahirnya sebagai intan, beliaulah permata yang amat tinggi nilainya serta sukar dicari ganti. Pada Jumaat lalu, di Studio Filem Negara, Petaling Jaya bermandikan cahaya serta dibuai keasyikan buat peminat biduanita pujaan ramai - Datuk Sharifah Aini. Biarpun sekadar satu malam, namun itu sudah cukup untuk membangkitkan nostalgia di kalangan peminat yang tidak jemu mendengar nyanyiannya.Di pentas yang dihias indah dengan lampu chandelier serta tersergam poster bersaiz gergasi yang memaparkan wajahnya dari tiga dekad iaitu 70-an, 80-an dan 90-an, di situlah berdirinya figura hebat ini meragut hati peminatnya dengan lantunan lagu mendamaikan jiwa. Konsert ‘Inilah...Sharifah Aini’ terbitan ZGB Media Sdn Bhd yang bakal disaksikan peminat menerusi RTM menjelang Tahun Baru nanti membuktikan penyanyi ini masih ampuh. Gelaran biduanita ternyata tidak diberi tanpa sebab yang munasabah. Ketika rakan seperjuangannya ada yang mengundurkan diri namun Sharifah atau lebih akrab di sapa Kak Pah masih utuh memperjuangkan kerjaya nyanyiannya selama lebih 41 tahun lalu. Auranya masih belum berpenghujung dan pasti tidak akan mati selagi kudratnya masih berdaya. Sebaik Sharifah 'membuka' mulut, memulakan lagu pilihan, hati didakap bahagia yang sukar untuk diungkap. Apabila suaranya itu singgah di telinga, semua gundah gulana, hilang serta terbang melayang-layang. Demikian ajaibnya suara wanita dari selatan tanah air ini. Rasa ini hanya akan dipunyai oleh peminat Sharifah yang setia menghafal dan mengingati setiap lirik bahasa seni yang dilantun. Irama pembuka iaitu Seri Dewi Malam, Terbang Helang dan Oh Di Mana mengambil ruang hati. Tidak ketinggalan Hapuslah Airmatamu, Gunung Banang, Dekatlah Padaku, Tiada Maaf Bagimu dan Kau Tinggi Di Awan Biru yang liriknya adalah hasil tulisannya sendiri membangkitkan seribu rasa kepada mereka yang mendengarnya. Tidak berseorangan, sebaliknya Sharifah ditemani dua penyanyi lain sebagai penyanyi undangan.Kehadiran Francisca Peter mengalunkan lagu popularnya, Sekadar Di Pinggiran mengundang sorakan penonton. Walaupun sudah lebih dua dekad usia lagu ini, namun melodi indah ciptaan Manan Ngah dan lirik oleh Lukhman S ini masih utuh dalam ingatan penonton yang hadir. Kemunculan Datuk David Arumugam menyampaikan Sampaikan Salam Cintaku juga mengundang sorakan gemuruh penonton. Ketiga-tiganya kemudian menyampaikan Seiring Sejalan, lagu nyanyian Sharifah bersama Broery Marantika. Walaupun terpaksa mengulang rakaman kerana ada yang terlupa lirik, namun semuanya berjalan lancar. Malah, kesilapan itu menjadi bahan jenaka dan mengundang gelak tawa penonton apabila David selamba menyanyikan lagu itu dengan lirik yang lintang pukang.Adat rakaman, tidak semuanya sempurna. Walaupun terpaksa mengulang beberapa kali akibat kesilapan teknikal, namun penonton masih tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing. Ini kerana apa yang penting peluang menyaksikan diva ini beraksi kerana kemunculannya di pentas terbuka seperti ini memang terlalu sukar. .Konsert yang diterajui komposer terkenal Ramli MS ini memperlihatkan kehebatan Sharifah menyampaikan pelbagai genre lagu. Daripada lagu Jatuh Cinta, Sabarlah Menanti, Hanya Engkau, Empat Dara, Zapin Budi, Kau Pergi Tanpa Pesan, Teratai, Bunga Tanjung, Burung Pungguk, Yang Ditunggu Tak Tiba, Percayalah, Di Malam Persandingan, Usah Pergi dan Cahayamu Cahayaku. Nyata pengalaman mematangkan dirinya. Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad, menghasilkan 98 album dan merakamkan lebih 1,000 lagu membuatkan Sharifah mampu menzahirkan setiap lagu itu dengan mood yang berbeza-beza.Ketika ditemui selepas konsert itu, Sharifah nyata teruja kerana sudah lama beliau impikan untuk mengadakan persembahan seperti ini iaitu lebih dekat dengan peminat.“Peluang ini saya gunakan sepenuhnya untuk bertemu dengan peminat. Tidak ada apa yang lebih menggembirakan saya selain melihat peminat saya terhibur dengan persembahan saya malam ini,” kata Sharifah yang anggun mengenakan rekaan Jovian Mandagie. Malahan langsir yang melatari konsert biduanita itu turut mendapat tajaan daripada Master Home Sdn Bhd. Ketika mengulas Sharifah bagi menjayakan persembahan itu, penerbitnya Zohara Gany Bathusha atau Kak Lola berkata, pemilihan penyanyi itu bersesuaian dengan konsep malar segar yang dikehendaki RTM.“RTM meminta saya mencari seorang penyanyi yang malar segar serta lagunya masih popular dan diterima ramai ketika ini. Apabila dimaklumkan sedemikian, ingatan saya terus terlintas kepada Sharifah Aini. Semuanya berlaku begitu pantas dan sebaik saja kata persetujuan dicapai maka terhasillah konsert Inilah Sharifah Aini,” jelasnya mengenai konsert yang diarahkan Ismadi Ismail ini.Teringin berduet dengan JamalKETIKA ini jadualnya cukup padat dengan persediaan untuk konsertnya di Singapura, bulan depan. Bagaimanapun, seperti yang dijanjikannya, Sharifah muncul dengan pelbagai mini showcase sebagai meraikan ulang tahun ke-40 dalam bidang seni suara. Bukan sebarang showcase. Sebaliknya konsert mini itu nanti bakal menyaksikan dirinya berduet dengan penyanyi Gred A dari Malaysia.“Saya namakan showcase ini sebagai Sharifah Aini & Friends. Ia akan diadakan di Hotel Concorde berkonsepkan persembahan makan malam. Persembahan ini termasuk dalam rantaian konsert yang akan saya adakan sebelum menuju konsert berskala mega tahun depan. Setakat ini Anuar Zain sudah memberi persetujuan untuk bersama-sama dalam konsert ini. Persembahan kami diadakan pada 11 Disember. “Selain itu, saya juga teringin berduet dengan M Nasir dan Jamal Abdillah. Jamal kerana saya tahu dia adalah antara penyanyi lelaki yang mempunyai vokal cukup hebat,” ujarnya dalam nada teruja.Mengulas mengenai konsertnya di Singapura, Sharifah berkata beliau kini sedang mempersiapkan diri dengan latihan vokal.“Alhamdulillah, semua persediaan berjalan lancar. Lagu juga sudah dipilih dan dari jualan tiket, cukup memberangsangkan. Saya harap peminat saya di Kuala Lumpur turut serta menyaksikan konsert yang akan menceritakan kisah suka duka saya, sebelum dan selepas bergelar penyanyi,” katanya.

No comments: