Anuar Zain - Eksklusif dan intim!
Oleh WANDA IDRIS Foto NOOR AZLINA JAAFAR
RM800. Itu harga tertinggi yang ditawarkan untuk menyaksikan persembahan eksklusif bersama Anuar Zain yang dianjurkan Maju Junction Mall pada 7 Oktober lalu.
Majlis meraikan Syawal itu juga menawarkan dua lagi meja yang masing-masing berharga RM700 dan RM600.
Dan para peminat Anuar pula, walaupun tiket mahal, mereka nampaknya tidak kisah berbelanja besar untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan.
Buktinya, 28 meja yang disediakan penuh dengan peminat yang seronok menghiburkan diri di Dewan Golden Chersonese, Maju Junction Mall.
Bagi mereka tidak perlu kedekut mengeluarkan wang untuk menonton persembahan Anuar kerana memang seringkali sifatnya eksklusif dan penuh keintiman.
Lalu, bagi kebanyakan peminat setianya, harga bukanlah sesuatu yang tiada kompromi. Malah dengarnya ada yang sanggup menabung semata-mata untuk membayar harga tiket Anuar Zain. Dan pada persembahan petang Rabu lalu itu juga turut disaksikan oleh peminat setia Anuar dari Singapura.
Itulah penangan Anuar Zain yang memang terkenal mampu mencairkan hati wanita tidak kira usia dengan dendangan lagu dan sikap mesranya.
Kepuasan menyaksikan sebuah persembahan memang dirasai penggemar fanatiknya pada setiap persembahan.
Sambil menyanyi, sambil bermesra dengan peminat. Anuar tidak pernah kisah dikerumuni peminat fanatik yang mahu bergambar dan bersalaman dengannya.
Dan itulah keistimewaan yang diberikan oleh Anuar untuk para peminat yang sanggup membayar mahal untuk menyaksikan persembahannya.
Bagi Anuar, hak eksklusif dan keintiman adalah asetnya untuk peminat yang datang berhibur kerana peminat adalah segala-galanya.
Justeru menghiburkan mereka adalah perkara utama yang diberikan dalam setiap persembahan.
Tidak boleh ego di pentas dan interaksi menjadi kepentingannya dalam memberi kepuasan kepada peminat. Bukan sekadar berkata-kata dan tersenyum malah setiap pergerakan tubuh dijaga.
"Kerana itu saya memandang mata penonton ketika menyanyi. Itu gaya dan cara saya. Saya tidak suka syok sendiri. Kita penyanyi. Tugas kita adalah menghiburkan," jelasnya.
Terkenal dengan auranya yang tersendiri, Anuar juga menyifatkan kejujuran ketika di pentas dan sokongan peminat banyak membantunya berada pada kedudukan hari ini.
Pengalaman juga banyak membantu dirinya untuk tampil sentiasa segar di pentas, tidak sahaja daripada penampilan tetapi juga susunan lagu dan pembawakan diri.
"Saya percaya setiap daripada kita ada auranya sendiri. Ada doanya. Keyakinan diri penting dan kita harus menikmati dan seronok dengan apa yang dilakukan.
"Saya percaya dengan itu kita dapat memberikan satu keseronokan pula kepada orang lain," kata Anuar mengenai sikapnya terhadap menjayakan sesuatu persembahan.
l Julung kali
Merupakan julung kalinya menjayakan sebuah persembahan meraikan Syawal secara berbayar, Anuar mengakui terkejut dengan sambutan yang diterimanya.
Masakan tidak, harganya bukan calang-calang apalagi dianjurkan pada saat keadaan ekonomi tidaklah begitu memberansangkan.
Namun tegas Anuar, harga yang ditawarkan itu bukanlah harga yang ditetapkan olehnya sebaliknya oleh penganjur.
"Saya tetap menerima bayaran seperti biasa," katanya sambil tersenyum.
Diiringi empat pemuzik di bawah pimpinan Alwyn Santiago, Anuar mempersembahkan 10 buah lagu pada persembahan lebih sejam itu.
Membuka tirai persembahan dengan lagu Menjelang Hari Raya yang pernah dipopularkan DJ Dave, Anuar turut mempersembahkan lagu-lagu saduran seperti Tiada Maaf Bagimu, Senandung Semalam, Bersabarlah Sayang dan Tegar.
Tidak ketinggalan tentunya lagu-lagu popular Anuar seperti Hanya Milikmu, Ketulusan Hati serta medley Mungkin, Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Lelaki Ini, Jangan Bersedih Lagi dan Teman Terulung selain dua encore iaitu Suasana Hari Raya dan lagu penutup tirai, Perpisahan.
Peminat bukan sahaja seronok bergambar dan bermesra dengan Anuar yang turut turun ke pentas bermesra dengan peminat.
Malah ada yang teruja menyanyi bersama dan ada yang bergenangan air mata kegembiraan apabila Anuar menyampaikan lagu sambil melutut kepadanya.
No comments:
Post a Comment