Friday, August 31, 2007

Suara, semangat merdeka selebriti

Oleh Farihad Shalla Mahmud

DETIK bersejarah itu tiba lagi dan tanpa disedari sudah lima dekad Malaysia menyambut hari kemerdekaannya. Apabila memperkatakan mengenai merdeka, apa yang tergambar di ingatan adalah betapa sukarnya nenek moyang kita memperoleh status bebas dari penjajahan.
Titisan darah, peluh dan air mata menjadi teman kala mereka berjuang menuntut kemerdekaan. Dan hasilnya, kita sebagai generasi baru cukup bertuah kerana kesenangan yang kita nikmati hari ini terhasil dari jerih payah pengorbanan mereka.
Justeru, sebagai pewaris kemerdekaan, kita perlulah menghargai setiap pengorbanan mereka dengan meneruskan perjuangan serta menanamkan semangat cintakan negara dalam diri masing-masing. Semangat patriotisme harus sentiasa dipupuk agar kita tidak alpa dengan keselesaan dan kemajuan negara yang kita peroleh hari ini.
Dan pesanan yang sama turut dititipkan beberapa artis popular tanah air untuk panduan bersama.
AZNIL NAWAWI
“SAYA lahir lima tahun selepas merdeka. Rasanya dapat juga rasakan pengaruh kolonial yang kuat semasa zaman kanak-kanak. Nama sekolah, jalan raya, bangunan masih kuat unsur British. Sekarang sudah 50 tahun merdeka dan terasa tebal rasa unsur tempatan. Semangat dijajah kita sudah ditinggalkan jauh. Tapi yang penting minda kita masih ada yang dijajah.”
MAWI
“GENERASI baru hari ini sedar bahawa bukan mudah untuk mengecapi kemerdekaan yang mereka nikmati ketika ini. Jadi, dalam mengecapi kebebasan yang diberi, jangan lekas terleka atau lalai. Mana-mana yang masih terlena, hendaklah segera bangkit dan pertahankan kemerdekaan dan kemakmuran yang ada.”
ERRA FAZIRA
“PENGERTIAN merdeka bagi saya dulu dan sekarang memang jauh berbeza. Walau apapun pengertian terhadap kemerdekaan, yang penting jangan kita biarkan pengorbanan dan perjuangan nenek moyang kita menjadi sia-sia. Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan walaupun sudah separuh abad kita menikmati kemerdekaan, kita masih belum dapat menyisihkan semangat penjajah dalam jiwa kita. Contohnya dalam bidang seni sendiri, masyarakat kita begitu mudah menerima hasil karyawan luar berbanding produk keluaran tempatan. Kita harus ingat, walau seburuk manapun produk tempatan, kita perlu menghargainya kerana itulah milik Malaysia.”
MAYA KARIN
“KEMERDEKAAN memberi peluang kepada kita untuk mendapat satu kehidupan yang lebih baik dan juga memberi peluang untuk hidup bahagia. Namun tidak semestinya kemerdekaan memberikan apa yang kita mahu. Tapi setidak-tidaknya ia memberi satu alternatif untuk apa yang kita hajatkan. Dalam bidang seni umpamanya, kita masih belum merdeka secara total. Ada banyak perkara yang perlu diterokai bagi mencapai sesuatu tahap piawaian yang diinginkan.”
ANUAR ZAIN
“BUAT generasi baru, hargailah kemerdekaan yang kita miliki hari ini. Hormati dan sayangilah pejuang kemerdekaan terdahulu yang bersusah payah menghadiahkan kebebasan kepada kita. Oleh itu marilah kita bersama-sama menjaga kemerdekaan ini untuk selama-lamanya.”

HATTAN
“BIARPUN sudah 50 tahun kita merdeka, namun kalau kita lihat dalam industri seni sendiri, kita masih di takuk lama. Mana tidaknya, pengaruh dari luar senang-senang meresap masuk. Contoh paling ketara, pemuzik dan lagu dari Indonesia. Akibatnya, kita sendiri yang seolah-olah mengemis di negara sendiri. Lagi satu, industri hiburan kita kita ini sering dipengaruhi oleh aspek perniagaan. Semua perkara kita sebagai artis perlu mengikut kehendak mereka. Sukar untuk buat keputusan sendiri. Jadi mahu atau tidak, untuk survive kita kenalah mengikut telunjuk mereka.”
MISHA
“SEBAGAI anak merdeka, saya merasai erti kebebasan sebenarnya. Di sini segala-galanya bebas. Seperti saya, walaupun seorang artis, saya bebas untuk menjadi orang biasa dan bergelar ibu dan tiada siapa yang mengganggu saya. Kita juga bebas berpolitik, ada pihak kerajaan dan pihak pembangkang tetapi Malaysia tetap aman dan tiada perpecahan. Kita masih boleh hidup di bawah satu pemerintahan dengan harmoni. Sebagai anak seni menerusi kebebasan yang diwarisi, kita diberi peluang untuk menonjolkan kreativiti tanpa sebarang prejudis.”

No comments: