Thursday, August 30, 2007

Berbaloikah pengorbanan Anuar Zain?

Album terbaru Anuar Zain akan berada di pasaran tidak lama lagi. Album buatan 80 peratus Indonesia itu katanya, “Menelan kos hampir sama dengan kos pembikinan empat album.”
Bayangkan! Album buatan Malaysia 100 peratus, standard kosnya antara RM40,000 hingga RM50,000.
Wow! Ertinya kos pembikinan album Anuar kali ini tentulah tidak kurang RM200,000. Bukan sedikit jumlah wang yang dibelanjakan Anuar untuk albumnya itu.
Tapi kata Anuar, semua itu untuk peminat. Dia ingin memberikan sesuatu yang lain untuk memuaskan hati peminat.
Waima kalaulah albumnya tidak diterima untuk pencalonan Anugerah Industri Muzik tahun depan kerana melanggar kriteria AIM, pun dia reda. Asalkan album itu dapat memuaskan hati peminatnya.
Besarnya pengorbanan Anuar untuk peminat!
Dalam keadaan jualan album begitu lembab ketika ini, Anuar nekad berbelanja besar.
Persoalannya mungkinkah peminat akan menghargai apa yang dilakukan Anuar?
Itulah yang Kak Tim bimbangkan. Persepsi peminat terhadap album tempatan ketika ini, cukup menyedihkan.
Mudah-mudahan Anuar mendapat sokongan peminatnya. Maklumlah lima tahun tanpa album, harap-harap ramai yang menantikan album terbaru Anuar kali ini.
Apa lagi kata Anuar, insya-Allah selepas ini peminat tidak akan menunggu sehingga lima tahun untuk album seterusnya.
“Mungkin dua tahun sekali,” katanya.
Kak Tim: Kata sumber, Anuar sudah mula mengintai-mengintai material untuk album seterusnya.

Source: utusan.com.my

No comments: