Thursday, May 8, 2008

'Faham-faham sajalah jika saya turun pentas' - Berita Harian

Faham-faham sajalah jika saya turun pentas
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
DIGILAI RAMAI: Anuar tidak putus-putus dikerumuni peminat.

PENYANYI Anuar Zain mengaku dia amat terkilan apabila tidak dapat turun ke pentas beramah-mesra dan mendekati penonton yang hadir menyaksikan persembahannya pada acara A Nite With... Anuar Zain di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Selalunya, artis yang kini tampil menggayakan rambut potongan pendek ini akan turun dari pentas, menghampiri peminatnya tatkala mengadakan persembahan. Namun, keadaannya amat berbeza 2 Mei lalu apabila penyanyi ini terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, bagi mengelakkan sebarang kontroversi. Pada sidang akhbar mengumumkan persembahannya itu baru-baru ini, kenyataan pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini menarik minat sesetengah pihak untuk memperkatakannya sehingga ia menjadi sebuah isu. Kononnya, Anuar merelakan peminat mencium dirinya pada persembahan itu.
"Saya memang teringin sekali hendak turun (dari pentas), bertemu peminat dari meja ke meja seperti biasa. Tetapi, faham-faham sajalah apa akan jadi jika saya berbuat demikian. Jika boleh, saya ingin memuaskan hati semua orang yang datang. "Ini hanyalah sebuah persembahan. Namun sebahagian daripada kita melihatnya dengan pandangan berbeza. Lalu, jika mereka menganggapnya suatu tindakan yang tidak betul, hendak tak hendak saya kena lupakan hasrat untuk turun menemui peminat di bawah sana. Amat menyedihkan juga apabila saya berasakan sesuatu sudah hilang dalam persembahan ini. Saya terpaksa melakukannya untuk mengelakkan kontroversi," katanya ketika ditemui sebaik saja tamat persembahan. Pada malam itu, dewan berkenaan penuh sesak dengan 1,240 peminat penyanyi berusia 38 tahun itu. Penyanyi lelaki paling digilai peminat wanita ini menyampaikan kira-kira 16 lagu pada majlis berkenaan, dalam persembahan yang memakan masa hampir sejam setengah.


Mengukur kejayaan dari segi sambutan peminat, biarpun harga tiketnya agak mahal (dari RM300 hingga RM650, serta pakej satu meja dari RM3,000 hingga RM6,500), lalu tidak teringinkah adik penyanyi Ziana Zain ini merancang kemunculan pada konsert sendiri pula dalam masa terdekat? "Kami sebenarnya ada membuat perancangan untuk mengadakan konsert sebelum berakhirnya tahun ini. Kerana perancangan itu juga, maka saya membataskan kemunculan di persembahan terbuka. Saya menerima enam tawaran mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha, tetapi menolaknya kerana tidak mahu terlalu banyak pendedahan. Saya sendiri sudah agak lama tidak mengadakan persembahan. Kiranya A Nite With ini sebagai pengubat rindu buat peminat. "Berbalik kepada rancangan mengadakan konsert, ketika ini kami mencuba sedaya upaya mendekati beberapa pihak yang berminat untuk mengadakan kerjasama. Daripada penganjur sehinggalah kepada gelanggangnya, semua itu harus dibincang dengan sebaiknya. Apatah lagi hal ini membabitkan duit mereka. Jika ada pihak yang ingin membantu artis tempatan, ia amat dialu-alukan. "Mengadakan konsert sememangnya menaikkan taraf seseorang penyanyi. Pada hari ini pula, amat mengecewakan jika kita melihat kepada jumlah penyanyi tempatan yang berjaya mengadakan konsert," kata Anuar yang kelihatan kecewa apabila syarikat gergasi negara ini lebih berminat menaja persembahan besar-besaran penyanyi luar negara.
Konsert yang diidamkan Anuar semestinya membabitkan pemuzik orkestra dan dia lebih suka sekiranya persembahan itu nanti dapat dilangsungkan di stadium tertutup. "Jika saya berjaya menarik minat 4,000 hingga 5,000 penonton, ia sudah cukup membanggakan. Persembahan itu nanti juga pasti lebih dekat dengan peminat, dengan jumlah yang sedemikian," kata jejaka berbintang Aquarius ini. Mengenai persembahannya pada majlis anjuran Sutra D’Mega Event & Entertainment itu, Anuar mengaku berpuas hati walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi beberapa jam sebelum persembahan. "Mula-mula sekali kereta saya rosak, diikuti pula dengan kehilangan jurutera bunyi yang sampai sudah tidak muncul-muncul. Jadi, agak bermasalah jugalah ketika kami mengadakan ujian bunyi. Tidak pernah ujian bunyi saya mengambil masa hingga berjam-jam lamanya. Saya harap, dia mempunyai alasan yang kukuh, mengapa dia tidak datang pada malam ini. Saya sudah lama bekerja dengannya. Jadi saya harap tidak ada apa-apa berlaku padanya," ujar Anuar yang melihat semua masalah itu sebagai ujian buatnya. Malam itu, Anuar yang menampilkan persembahan bertenaga mengalunkan banyak lagu popularnya, petikan album baru dan lama. Tiada satu pun lagu penyanyi lain dinyanyikan, membuatkan persembahan malam itu cukup bermakna lagi istimewa buat peminat setianya. Lagu yang dipilih Anuar pada kali ini ialah Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Semua Untukmu, I’m The Lucky One, Kau Bunga Cintaku, Hanya Milikmu, Mungkin, Suria & Siarra, Permata, Jangan Bersedih Lagi, Perpisahan, Kaulah Satunya, Bila Resah, Teman Terulung (duet bersama wartawan Shahrudin Mustaffa), Lelaki Ini dan Ketulusan Hati. Sejak minit pertama persembahan, peminat yang kebanyakannya perempuan tidak habis-habis menghampiri penyanyi ini untuk bersalam, mengambil gambar dan memberikan hadiah. Kelihatan juga beberapa lelaki yang mengawal ketat persembahan, bagi mengelak peminat terbabit menyerbu penyanyi berkenaan di atas pentas. Namun, peminat paling bertuah tentunya seorang kanak-kanak perempuan yang diajak Anuar menaiki pentas tatkala dia melagukan irama indah, Lelaki Ini. Dan, kanak-kanak terbabit tidak melepaskan peluang mencium pipi penyanyi tersohor ini, disambut tepukan gemuruh penonton.


No comments: