Friday, April 25, 2008

Countdown AIM 15 bermula 1 Mei

Oleh Zaidi Mohamad

BERSEMPENA Hari Buruh pada 1 Mei ini, jam 8.30 malam, saluran ntv7 akan menyiarkan program istimewa Countdown Anugerah Industri Muzik (AIM). Kemuncak segala-galanya menerusi AIM 2008 (ke-15) akan berlangsung pada 3 Mei. Countdown ini akan menyingkap sorotan penting di samping babak di sebalik sinar kerlipan dan glamor anugerah tahunan yang berprestij itu.

Turut dimuatkan dalam rancangan berdurasi 60 minit ialah slot temu bual calon anugerah tahun ini, pemenang AIM terdahulu, di sebalik tabir AIM 15 dan wawancara eksklusif bersama Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Datuk Aziz Bakar dan Pengurus Besar, Jennifer Thompson.

Penonton juga bakal disajikan dengan temu bual bersama selebriti ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Faizal Tahir mengenai pendapat dan harapan mereka pada malam anugerah di samping fokus pandangan serta persiapan mereka ke malam kemuncak. Imbauan detik kenangan manis bekas pemenang terdahulu juga diselitkan.

“Countdown AIM 15 ialah rancangan unggul yang juga menyumbang sebahagian besar kepada pembikinan AIM yang ditunggu-tunggu semua pada 3 Mei ini. Anugerah tahunan ini telah berkembang daripada tahap ke tahap setiap tahun dan AIM berjanji akan menjadi ikon untuk semua rancangan anugerah hiburan,” kata Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama ntv7, Airin Zainul..

Episod mingguan Prelude Kemuncak AIM 15 juga boleh didapati di Catch-Up TV di laman web: www.ntv7.com.my. AIM kali ini menghimpunkan 576 pencalonan dalam 18 kategori termasuklah Persembahan Vokal Terbaik di dalam album artis Wanita dan Lelaki, Album Pop Terbaik, Album India dan Cina, Artis Harapan dan Artis Baru Terbaik.

Tahun ini adalah tahun kesembilan berturut-turut, stesen Saluran Ceria Anda itu bertindak sebagai stesen penyiar rasmi AIM. Pada tahun lalu, AIM 14 telah berjaya memperoleh rating yang amat membanggakan di kalangan penonton berumur enam tahun ke atas dengan pencapaian 11 TVR atau hampir 2 juta jumlah penonton keseluruhan.

AIM 15 kali ini akan menyiarkan From The Red Carpet selama setengah jam sebelum persembahan kemuncak dan penganugerahan ke udara, mulai jam 8.30 hingga 9 malam. Ashraf Sinclair dan Kartini Ariffin bertindak sebagai hos yang akan menemu bual artis yang melintasi permaidani merah.

Malaysia Berita Harian Online

No comments: