Monday, August 27, 2007

Zainal ajak jaga jantung - Anuar Zain guest artist

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan Source: myMetro

MENGENANG nasib yang menimpa bapa kandungnya, Mohamed Mohd Taib dan rakan seangkatan Hani Mohsin Mohd Hanafi, menimbulkan kesedaran kepada penyanyi popular, Zainal Abidin, mengenai pentingnya rawatan segera untuk penyakit jantung.
Zainal, 48, yang popular dengan lagu Hijau, meluahkan perasaan kesal terhadap kejadian yang menimpa dua individu istimewa itu.
Katanya, dia turut mengalami pengalaman pahit apabila bapanya, bekas anggota bomba yang sihat tubuh badan tetapi meninggal dunia selepas serangan jantung tanpa rawatan awal ketika kejadian itu berlaku dan perkara sama menimpa Mohsin.
“Sebagai ahli bomba sudah tentu bapa menjaga kesihatannya dengan baik dan tahu cara melakukan bantuan kecemasan jika terjadi sesuatu musibah atau kemalangan tetapi sayangnya kemahirannya itu tidak sempat diperturunkan kepada saya.
“Jadi apabila bapa terkena serangan jantung, barulah saya sedar kita perlu memberinya rawatan awal sebelum dibawa ke hospital. Oleh kerana kurang pengetahuan untuk melakukan bantuan kecemasan itu menyebabkan bapa menghembuskan nafas terakhir sebelum menerima rawatan lanjut di hospital.
“Perkara sama menimpa Mohsin ketika terkena serangan jantung di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), tahun lalu. Disebabkan tiada siapa yang dapat memberikan bantuan kecemasan kepadanya, akhirnya dia tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Bapa Zainal meninggal dunia ketika penyanyi itu berusia 28 tahun dan pada 25 Julai lalu genap setahun Mohsin disemadikan.
Zainal yang sangat menitikberatkan aspek kesihatan mengakui kerap melakukan pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan terbaik. Dia juga sangat bersyukur kerana tidak pernah mengalami sebarang penyakit kritikal.
Zainal yang ditemui pada majlis sidang akhbar pelantikannya sebagai duta Larian Kardio 2007 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, turut melawat unit jantung hospital itu.
Program Larian dan Kempen Kesedaran Kesihatan membabitkan pelbagai aktiviti menarik yang julung kali diadakan Unit Perubatan Kardiologi, PPUM dijadualkan berlangsung di pekarangan Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, 2 September ini.
Zainal dijangka menyanyikan beberapa lagu yang turut disertai rakan artis, Farah Asyikin dan Anuar Zain.
Menurut Zainal, penyertaannya menerusi program itu sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya kepada insan yang memerlukan.
“Ini adalah sebahagian daripada projek kemanusiaan. Saya di sini untuk membantu penganjur mengutip dana bagi membantu pesakit jantung yang tidak berkemampuan.
“Di samping larian, program ini juga menganjurkan aktiviti kesihatan yang lain bagi mewujudkan kesedaran dan maklumat kesihatan kepada orang ramai,” katanya.
Mengulas perjalanan seninya, Zainal berkata ketika ini dia memberi tumpuan kepada penghasilan album lagu rakyat edisi kedua yang diedarkan secara percuma di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKwa).
Katanya, hasrat menerbitkan album solo memang ada cuma perlu mempertimbangkan cara lebih efektif supaya tidak menanggung kerugian.
“Hasrat saya untuk tampil dengan album terbaru tetap ada cuma saya tidak tahu apakah jalan terbaik untuk menghasilkan album yang diminati ramai seterusnya meningkatkan jualan,”katanya.
“Jika kita kaji pasaran sekarang penjualan album agak lembap kerana persaingan daripada muat turun nada dering dan teknologi digital. Justeru, tiada gunanya jika saya menghasilkan album yang tidak mampu dijual pada kadar yang sepatutnya,” katanya yang sudah merakamkan lebih tujuh album solo.
Majlis sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Larian Kardio dan Kempen Kesedaran Kesihatan 2007, Profesor Dr Haizal Haron Kamar, Dr Nik Halmey Nik Zainal Abidin dan Dr Zul Hilmi Yaakob.
Menurut Dr Haizal, unit itu mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM500,000 bagi membantu pesakit jantung yang tidak berkemampuan tetapi memerlukan rawatan segera.
Katanya, program itu diadakan bagi memenuhi dua objektif utama iaitu mengumpul dana, mewujudkan kesedaran dan mengadakan kempen berkaitan kesihatan.
“Sememangnya kita tidak pernah menolak untuk merawat pesakit yang tidak berkemampuan. Dengan adanya dana ini secara tidak langsung kita dapat membantu mereka.
“Kesihatan jantung amat penting dalam kehidupan seharian kerana penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu negara sejak 1970.
“Kos rawatan bagi pesakit jantung agak tinggi malah semakin meningkat setiap hari,” kata Dr Haizal yang tidak menolak kemungkinan program itu akan dijadikan sebagai acara tahunan.
Katanya, dia berharap pihak lain sama ada secara persendirian atau swasta dapat meneruskan usaha yang dilakukan PPUM itu.
“Sebagai permulaan mereka bolehlah menderma untuk mengisi dana itu. Apa yang lebih penting pesakit mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.
Yuran penyertaan peserta larian, RM15 seorang dan RM10 bagi pelajar yang menyertai kategori Terbuka sejauh 5.5 kilometer. Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi sekretariat di talian 03-80756000 atau layari http://www.ummc.edu.my/.

No comments: