Monday, August 27, 2007

Anuar Zain muncul September

SINGLE terbaru berjudul Lelaki Ini yang baru dimainkan di radio sejak tiga minggu lalu membuatkan peminat tertanya-tanya bila album kelimanya akan ada di pasaran.
Walaupun lewat sedikit, Anuar Zain tetap tidak akan menghampakan peminatnya. Album yang menggunakan namanya sebagai judul itu bakal dipasarkan sekitar September ini.
Menurut Anuar, album itu menampilkan 10 lagu baru dan setiap lagu mempunyai keistimewaannya tersendiri.
“Kali ini, saya menggunakan beberapa komposer dari Indonesia dan tempatan bagi membawakan ‘feel’ berlainan buat peminat yang menantikan kelahiran album.
“Pun begitu, ia masih berkonsepkan pop kerana saya tidak mahu lari daripada konsep yang dibawa. Namun, pada segi susunan muzik dan lagu yang dibawa, ia mempunyai sedikit kelainan buat santapan pendengar,” katanya.
Bagaimanapun, album yang bakal ada di pasaran itu tidak menampilkan kelainan drastik. Bagi Anuar, buat masa ini dia mahu mengekalkan konsep yang dibawanya.
Ramai juga peminat tertanya-tanya bila penyanyi yang memiliki suara unik ini mahu berubah angin dan mencuba konsep baru bagi memantapkan kerjaya seninya. Namun, pernah juga lelaki yang mementingkan kesempurnaan ini terfikir mengenainya.
“Buat masa ini saya belum bersedia untuk berubah angin kerana peminat dan saya menyukai konsep pop. Pun begitu, saya suka mencuba sesuatu yang baru dengan membawa konsep berlainan seperti genre asli dan R&B.
“Ia bukan baru dalam industri muzik di negara kita, tetapi ia berlainan dengan konsep yang biasa saya bawa sebelum ini.
“Mungkin pada album akan datang dan selepas album Anuar Zain lama di pasaran, saya akan cuba membawa elemen berkenaan dalam setiap lagu yang akan dirakam nanti,” katanya.

No comments: