Anuar ke garisan kemuncak - Utusan Malaysia
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
SETIAP artis yang menjadikan bidang nyanyian sebagai mata pencarian, pastinya mengimpikan untuk mengadakan sekurang-kurangnya sebuah konsert bagi melengkapkan profil seni mereka.
Apatah lagi, jika konsert yang diidamkan itu dilakukan di luar negara yang pastinya akan menjadi kenangan manis dan terindah buat seseorang artis itu.
Begitulah diibaratkan dengan penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain apabila berpeluang membuat konsert solonya yang pertama di Singapura awal bulan ini.
Dan pentasnya pula, bukanlah sembarangan kerana pentas yang dimaksudkan adalah Esplanade Theatre yang dianggap sebagai salah sebuah pentas paling berprestij di Asia Tenggara.
Pastinya, Anuar seorang yang cukup bertuah sebagaimana tajuk lagu popularnya masa kini, I'm The Lucky One untuk mempersembahkan lagu-lagunya di pentas yang sama seperti mana Datuk Siti Nurhaliza mengalunkan vokal emasnya sekitar Mac lalu.
Apatah lagi, dengan kehadiran 1,600 orang peminatnya yang bukan sahaja dari Singapura malah dari Malaysia, Indonesia dan juga Brunei yang sanggup mengeluarkan wang yang bukan sedikit untuk menyaksikan konsert sulungnya di republik itu.
Untuk makluman, harga tiket untuk menyaksikan konsert Anuar pada malam itu bernilai $60 hingga $250 (RM142 hingga RM593) semuanya habis dijual.
Ternyata nada suara Anuar begitu gembira dan bersemangat untuk menceritakan pengalamannya di kota Singa baru-baru ini.
"Saya memang tidak pernah menyangka tiket untuk konsert sulung saya itu habis dijual dalam masa yang boleh dikatakan agak singkat juga.
"Malah, saya diberitahu oleh penganjur apabila tiket yang paling mahal pada malam itu yang paling cepat terjual.
"Saya tidak menafikan, hati saya sedikit bimbang seandainya konsert ini tidak mendapat sambutan. Tetapi, semuanya berubah apabila saya melihat mereka yang hadir pada malam itu yang memberikan saya satu semangat yang luar biasa dalam mempersembahkan lagu-lagu saya pada malam itu," kata Anuar.
Konsert yang diberi nama An Evening With Anuar Zain itu telah mendapat pujian di kebanyakan blog dan forum oleh mereka yang telah menonton konsertnya pada malam itu.
Malah, lebih manis lagi untuk Anuar apabila penonton dan peminatnya memberi tepukan sanjungan kepadanya sebaik sahaja dia menamatkan persembahannya.
Bukan itu sahaja, seorang editor majalah hiburan di Singapura yang menonton konsert Anuar menyifatkan penangan dan pesona Anuar pada malam berkenaan bagaikan mendiang John Lennon apabila jejaka idaman Malaya itu berjaya membuat peminat wanitanya menangis.
Mungkin kedengaran agak melampau, tapi, itulah Anuar.
Dia memiliki aura dan karisma yang tersendiri dari personalitinya hinggalah kepada vokalnya yang begitu bertenaga dan ampuh.
Disebabkan kriteria berkenaan, tidak salah untuk melabelkan Anuar sebagai salah seorang penyanyi lelaki terbaik negara.
"Konsert ini merupakan satu pengalaman baru dan berharga buat saya. Dalam setiap persembahan yang saya lakukan, peminatnya adalah berbeza dan apa yang saya mahukan, mereka terhibur dengan persembahan saya kerana mereka mengeluarkan wang yang bukan sedikit.
"Malah, dengan sokongan yang tidak pernah henti oleh mereka juga menjadikan ia sebagai satu cabaran untuk saya memberikan yang terbaik untuk mereka. Pengorbanan mereka terlalu bernilai buat saya dan inilah masanya untuk saya membalas semua itu dengan menghiburkan mereka.
"Bukan itu sahaja, komunikasi juga amat saya titik beratkan untuk menghubungkan saya dengan peminat agar mereka berasa selesa menikmati persembahan saya. Saya sendiri berasa amat puas dengan konsert ini," jelasnya penuh bersemangat.
Untuk itu, pada malam berkenaan juga, penghibur lelaki ternama berusia 38 tahun ini juga tidak menghampakan peminatnya dengan mendendangkan lagu klasiknya, Kain Pelikat secara acapella dan sebuah lagi lagu lama berjudul Kesan Kelukaan yang rupanya, kata Anuar, diminati ramai oleh peminatnya di republik itu.
Konsert yang memakan masa hampir dua jam itu juga menyaksikan pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini menyampaikan 19 buah lagu termasuk dua buah medley yang kesemuanya merupakan lagu-lagu yang dipetik dari tiga album solonya.
Seharusnya, Anuar telah mendendangkan lagu-lagu seperti Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Keabadian Cinta, Permata, Bila Resah, Akan Ku Pinta, I'm The Lucky One, Perpisahan, Teman Terulung dan banyak lagi rangkaian lagu-lagunya di bawah pimpinan pengarah muzik, Aylwin Santiago dengan diiringi 11 orang pemuzik dan empat penyanyi latar.
Ekoran daripada kejayaan yang boleh dianggap luar biasa dalam karier seni penyanyi berbintang Aquarius ini, pihak penganjur yang sama telah berminat untuk menjemput Anuar sekali lagi mengadakan konsert di tempat yang sama tahun depan.
Namun, kata Anuar, dia akan menjadi lebih gembira dan bangga seandainya dia berpeluang mengadakan konsert sebesar itu di tanah kelahirannya sendiri.
Untuk itu, pemenang Vokal Lelaki Terbaik pada Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini menjelaskan, dia dan pihak pengurusannya sedang mengintai peluang dan mendekati beberapa pihak untuk merealisasikan impian Anuar mengadakan konsert di Malaysia pula selepas bergelar penyanyi solo selama sedekad.
Dalam perkembangan lain, Anuar juga gembira apabila lagunya, Teman Terulung berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 23 kategori Balada yang akan diadakan pada 5 Disember ini.
Menyifatkan kekuatan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Azalea itu terletak kepada susunan muzik dan liriknya yang mampu menaikkan semangat, Anuar memberitahu, seandainya lagu berkenaan terpilih ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), ia merupakan sesuatu yang manis untuknya.
"Saya sendiri terkejut apabila lagu Teman Terulung berjaya ke peringkat separuh akhir dan saya percaya, saingannya juga bukan calang-calang. Lagipun, sudah lama saya tidak beraksi di pentas AJL. Rindu pula rasanya.
"Apa yang penting sekarang adalah untuk memberikan yang terbaik demi peminat saya pada malam separuh akhir itu nanti. Soal menang atau kalah, saya letakkan ke tepi. Semuanya terpulang kepada penerimaan dan keputusan juri untuk memilih yang terbaik," ujar Anuar yang kali terakhir beraksi di pentas AJL tiga tahun lalu menerusi lagu Semua Untukmu.
Bukan itu sahaja, separuh akhir kali ini juga menyaksikan Anuar bakal berentap dengan kakanya sendiri, Ziana Zain yang turut tersenarai menerusi lagu Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan.
Lagu Teman Terulung dan Dingin perlu berdepan dengan 10 lagu hebat lain iaitu Cinta Terhalang nyanyian Bob, Ada Untukmu (Nubhan), Lagu Kita (Aizat), Sejauh Ini (Dina), Sampai Syurga dan Cuba (Faizal Tahir), Bila Nak Saksi (Spider), Bila Terasa Rindu (Dafi), Tanpa (6ixth Sense) dan Hanya Di Mercu (Ayu).
No comments:
Post a Comment