Konsert Mega Aidilfitri gabung baru dan lama
Oleh Khadijah Ibrahim
Source: www.utusan.com.my.
Program: Konsert Mega Aidilfitri
Tarikh rakaman: 17 Ogos 2007
Lokasi: Auditorium Perdana, Angkasapuri
Penerbit: Mohd. Yusni Mohamed Ali
Waktu siaran: 8.30 malam, RTM1, 13 Oktober 2007
Artis: Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Fazli Zainal, Ramlah Ram, Faizal (One In A Million), Jaclyn Victor, Izwan Pilus, Liza Hanim, Fiq, Farawahida, Rey, Nita, Shahir, Karen Kong, Han dan Zeti.
MESKIPUN Hari Raya masih jauh lagi namun sebagai persediaan, bahagian penerbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) awal-awal lagi sudah selesai merakamkan Konsert Mega Aidilfitri.
Diterbitkan oleh Mohd. Yusni Mohamed Ali, program itu telah pun selesai menjalani rakamannya pada 17 Ogos lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri.
Program yang menampilkan 16 artis ternama tanah air itu akan ditayangkan pada 13 Oktober, pukul 8.30 malam menerusi RTM1.
Menurut Mohd. Yusni atau Yus, program yang mengambil masa selama dua jam itu bukan sekadar hiburan tapi ia juga mampu merungkai rindu peminat pada penyanyi-penyanyi kesayangan mereka.
“Berdasarkan konsep itulah, saya sengaja menggandingkan penyanyi baru dan lama. Kemunculan Ramlah Ram dan Liza Hanim yang sudah lama tidak menghasilkan album misalnya mampu memberi ruang untuk mereka mengubati rindu peminat,” kata Yus.
Penonton program ini juga berpeluang mendengar 25 buah lagu daripada artis-artis terlibat.
Lagu-lagu yang didendang bukan sekadar lagu-lagu raya, malah lagu-lagu berkonsep kontemporari juga dipersembahkan.
Tegas Yus, program yang diacarakan oleh pelakon Jasmin Hamid dan penyanyi Nurul itu akan dimulakan dengan medley lagu raya, Menjelang Hari Raya dan Selamat Berhari Raya yang dipersembahkan oleh barisan penyanyi baru.
Mereka yang digandingkan untuk segmen ini ialah Izwan Pilus, Fazli Zainal, Fiq (Juara Mentor 2), Rey (Juara Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Shahir (Naib Juara Suara Emas Bintang RTM 2007).
Sementara penyanyi wanita ialah Farawahida, Nita, Zeti (Finalis Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Karen Kong.
Jelasnya, setiap penyanyi berpeluang mendendangkan dua lagu iaitu lagu nostalgia raya dan masa kini.
Antara lagu yang diperdengarkan ialah Indahnya Beraya Di Desa (Jaclyn dan Han), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Dayang Nurfaizah), Kepulangan Yang Dinanti dan Lelaki Ini (Anuar Zain), Ketentuan (Ramlah Ram), Akan (Karen Kong), Bebas (alternatif mix) dan Bersabarlah Sayang (Liza Hanim), Kasih Tercipta (Faizal), Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Selamat Hari Raya (semua artis).
Program yang berlatar belakangkan set ucapan Selamat Hari Raya dengan tulisan Jawi itu telah direka oleh pereka set KZ.
“Sebenarnya saya minta KZ buat set yang menampilkan unsur-unsur raya tapi dalam suasana moden. Saya sendiri terkejut bila melihat set yang dihasilkan. Pada saya set itu cukup menarik kerana ia melambangkan suasana Hari Raya,” tambah Yus.
Menyentuh mengenai gabungan Jasmin dan Nurul yang turut mendendangkan lagu Pulang Di Hari Raya, kata Yus antara mereka ada keserasian.
Jelasnya, selama ini sering ditonjolkan pengacara lelaki dan wanita. Namun disebabkan ingin kelainan, maka Yus memilih dua wanita yang pada pandangannya bijak berceloteh.
“Kedua-dua mereka walaupun tidak pernah bekerjasama sebelum ini namun masing-masing pernah mengacarakan beberapa program. Saya lihat mereka ada keserasian kerana masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Kesemua penyanyi diiringi oleh tujuh pemuzik yang diketuai oleh Helen Yap (pengarah muzik dan pemain key board), Hillary Ang (gitar), Ujang (gitar), Bong (bass), Joey (dram), Faizal Uzir (keyboard) dan Ameer Firza (perkusi).
No comments:
Post a Comment