Monday, August 27, 2007

Tidak tercalon AIM tidak mengapa - Anuar Zain


Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN
Source: Utusan.com.my




Selepas lima tahun tanpa album, penyanyi kacak Malaya, Anuar Zain kini kembali dengan album baru yang diberi judul Anuar Zain.
Album itu memuatkan tujuh lagu ciptaan komposer dari Indonesia sementara bakinya tiga lagu lagi dicipta oleh pencipta tempatan.
Malah 80 peratus pembikinan album itu dibuat di Indonesia. Termasuk rakaman muzik strings lagu Bidadari, di lakukan di Beijing, China.
Memandangkan pembikinan album itu banyak dilakukan diluar, apakah mungkin album itu layak dipertandingkan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun depan?
Ini kerana kriteria AIM mengenakan syarat setiap album yang dicalonkan haruslah memuatkan 60 peratus karya tempatan dan hanya 40 peratus ciptaan luar.
Itu disedari oleh Anuar sendiri.
Justeru katanya, “Tidak tercalon dalam AIM tak mengapa. Bagi saya kepuasan diri dan peminat lebih penting. Kualiti dan hasil yang terbaik memberikan kepuasan kepada saya. Anugerah merupakan satu bonus.
“Apa yang saya lakukan ini kerana saya mahu peminat berpuas hati dengan album ini setelah sekian lama menanti. Mungkin saya tak mampu memuaskan hati semua pihak. Tapi saya telah cuba seadanya,” katanya tersenyum manis pada pertemuan sesi pradengar albumnya di Restoran Enak KL, Starhill Gallery, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengapa memilih komposer luar?
Mungkin ramai yang beranggapan, Anuar seakan lebih mempercayai pengkarya luar daripada pengkarya tempatan.
Namun Anuar ada alasannya tersendiri. Katanya, “Album ini dihasilkan tanpa prejudis. Kesemua lagu-lagu yang dipilih kerana kena dengan konsep saya. Saya mahukan sesuatu yang berlainan dan berbeza daripada album terdahulu.
“Memang saya ada menerima banyak lagu dari komposer tempatan yang baik dan bagus. Tapi tak kena dengan konsep saya untuk album kali ini,” kata penyanyi yang pernah memenangi AIM bagi kategori Vokal Lelaki Terbaik (1999 dan 2003).
Bercerita pengalamannya bekerjasama dengan komposer luar, kata Anuar, “Mereka teliti dan mereka bagi kita apa yang kita bayar. Mereka tidak buat kerja asal boleh. Album ini buah hati saya, jadi saya mementingkan kualiti. Saya kerja penat nak cari duit. Seharusnya saya demand dan saya ke sana untuk dapatkan kualiti yang bagus. Bukan senang untuk bekerjasama dengan mereka. Mereka dahulukan artis mereka dulu baru mereka melayan kita. Itu antara sebab album ini agak lambat disiapkan,” katanya.
Namun tegas Anuar, album ini bukanlah mahu menidakkan kebolehan pengkarya tempatan.
“Saya minta maaf jika ada yang fikir begitu. Saya harap kita dapat pandang dari sudut positif,” katanya yang juga mahu memasarkan album tersebut ke pasaran seberang.
Menyambung bicara, kata Anuar, pelbagai kesukaran dialaminya untuk menghasilkan album terbarunya itu.
“Album ini penuh emosi, susah sangat untuk saya nak siapkan. Macam-macam perkara berlaku, ada banyak cerita di sebaliknya. Gaduh dengan orang sana, orang sini. Minta tolong itu dan ini untuk dapat yang terbaik. Tapi album ini ada nilai sentimental pada diri saya,” katanya yang turut menulis lirik untuk lagu Tinggalkan Aku.
Sambungnya, “Bila saya tak puas hati, kami ulang semula. Berulang kali, jadi memang sangat sukar segala proses untuk rakaman. Tapi untuk kebaikan, memang saya cerewet. Tak mengapa jika hasilnya memuaskan hati.”
Tambah Anuar, material untuk album itu dihimpunkannya sejak tahun 2004.
Memuatkan 10 lagu, antaranya Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Hanya Milikimu, Bidadari dan Teman Terulung. Album ini lebih menumpukan kepada muzik live dengan instrumen seperti horns bersama strings seperti viola, violin, cello dan sebagainya. Album tersebut merupakan hasil keluarannya sendiri, edaran Universal Music (M) Sdn. Bhd., dan bakal berada di pasaran September depan.
Ditanya tentang kos pembikinan album tersebut, sambil ketawa besar kata Anuar, “Hampir sama dengan kos pembikinan empat album.”

No comments: