Wednesday, August 27, 2008

Anuar cuti, tumpu buat ibadat


Anuar cuti, tumpu buat ibadat
Oleh Norhayati Nordin

Bagi segelintir insan seni, mereka senang memilih Ramadan dan Aidilfitri sebagai masa ‘berehat’ daripada aktiviti hiburan.
Ruang masa itu, bukan saja dijadikan platform untuk mengerat silaturahim kekeluargaan tetapi paling utama fokus pada amalan akhirat.
Tempoh sebulan Ramadan semahunya diisi dengan pelbagai program keagamaan seperti mengaji al-Quran dan solat tarawih.
Bagi penyanyi popular, Anuar Zain, bermula awal Ramadan ini, dia akan menghentikan sementara segala kegiatan seninya.
Kata pemuda berusia 38 tahun itu, keputusan bercuti diambilnya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadat serta berehat.
“Saya berasakan sudah penat bekerja dan bulan puasa ini adalah masa sesuai untuk berehat. Jadi, saya memutuskan tidak akan menerima sebarang tawaran sama ada menyanyi, sesi fotografi atau apa saja berkaitan hiburan sepanjang Ramadan ini.
“Biarlah tumpuan saya pada ibadat dan keluarga. Bukan apa, puasa tahun lalu jadual seni saya amat padat hingga tiada masa untuk bertarawih.
“Maklumlah, ada album baru dan terikat pula dengan komitmen promosi. Justeru, saya sempat tarawih dua minggu saja.
“Tidakkah ia merugikan? Oleh itu, Ramadan ini saya ingin memastikan dapat bertarawih penuh selama sebulan.
“Lagipun, selepas asyik bekerja takkan tidak boleh rehat sedikit. Sehubungan itu, saya akan pastikan semua program raya disiapkan sebelum Ramadan,” katanya.
Ditanya andai kata masih juga ada pihak mahu memberikan tawaran kerja padanya, Anuar berkata mungkin ia akan dipertimbangkan.
Namun, itu tidak bermakna dia berjanji akan melakukannya berikutan keputusan sudah dibuatnya untuk berehat sementara.
“Saya mengharapkan keputusan ini dihormati. Tempoh sebulan bukan lama kerana tahun lalu memang saya tiada peluang berbuat demikian,” katanya ditemui selepas rakaman program raya TV9, Syawal Bersama Anuar di studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam.
Berbicara lanjut mengenai karier seninya, Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain berkata jika tiada aral selepas Aidilfitri ini dia akan menjayakan konsert di Esplanade, Singapura.
Katanya, dia begitu teruja kerana Esplanade memang menjadi idamannya membuat persembahan.
“Ia (Esplanade) tempat yang bagus dan saya harap dapat menghiburkan peminat yang hadir. Walaupun, kapasiti penonton sekitar 1600 orang, itu sudah memadai. Apa yang penting bagi saya, peminat sama ada dari Singapura atau Malaysia terhibur,” katanya.
Selain itu, Anuar berkata, dia dalam proses mengumpul material untuk album barunya. Akuinya, sudah dua bulan mencari, belum satu pun lagu sesuai berjaya ditemui.
Bagaimanapun, Anuar tidak akan berhenti dan tetap meneruskan pencariannya.
“Saya ini, jenis yang kalau buat album pasti memerlukan satu tahun. Dalam tempoh itu, saya mencari lagu sesuai, memberi perhatian pada penyusunan muzik, tumpuan pada rakaman dan apa saja yang penting diberi keutamaan pada penghasilan album ini.
“Bukan saya untuk sekadar buat album saja. Saya perlukan kepuasan dan peminat menerima album itu yang terbaik.
“Jadi, banyak masa diperlukan dan saya perlu memilih dengan teliti,” katanya memberitahu menerima lamaran daripada komposer Indonesia.
Menyentuh satu lagi kariernya iaitu lakonan, Anuar yang pernah membintangi filem Bisikan Hati dan Soal Hati berkata, dia tidak terfikir untuk terus berlakon.
Katanya, selepas mencuba dalam dua filem itu, dia sedar tiada bakat dalam lakonan.
“Biarpun, tawaran berlakon masih banyak diterima tetapi buat masa sekarang, saya senang menolak. Ini kerana, saya tahu sejauh mana bakat saya menjadi pelakon.
“Setakat ini pun, saya dapati tidak boleh ke mana. Jadi, lebih baik saja saya melepaskannya.
“Saya lebih senang memberi fokus pada nyanyian. Itu sebenarnya karier yang sentiasa buat saya tenang dan selesa.
“Kalau lakonan, sayalah orang yang sering tidak selesa atau tenang ketika berada di set penggambaran. Bagai ada benda yang tidak kena.
“Oleh itu, jika saya ingin berlakon perlulah fikir semasaknya. Namun, sebelum ini pembabitan saya kerana hubungan persahabatan.
“Saya mahu bantu rakan dan tiada salahnya mencuba. Bagaimanapun, sekarang saya hanya mahu menyanyi,” katanya.
Pada rakaman program Syawal Bersama Anuar Zain yang akan disiarkan pada Aidilfitri kedua, jam 9 malam itu, Anuar menjayakannya dengan tiga rakan baiknya iaitu Rem, Deja Moss dan Siti Sarah Raisuddin. Ia akan berlangsung selama sejam.
Berlatar belakangkan suasana desa, Anuar turut mengundang kira-kira 20 anak yatim daripada Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK) di Puchong. Sebelum rakaman di studio, Anuar lebih dulu menjalankan penggambaran luar di Puchong.
Ditanya mengenai pemilihan rakannya, Anuar yang akan beraya di Shah Alam berkata, hanya Rem, Deja Moss dan Siti Sarah yang ada kelapangan masa ketika itu. Sedangkan seorang lagi rakan baiknya, Hazami pula terikat dengan komitmen lain.
“Saya memilih mereka bertiga kerana biarpun rapat, kami sebenarnya kurang berpeluang menjayakan persembahan di atas pentas yang sama.
“Selain itu, saya sebenarnya cukup seronok dan amat selesa sekiranya berkongsi pentas dengan rakan sendiri.
“Ini kerana, selain saling mengenali kami juga mudah bekerjasama. Masing-masing sudah mengenali karektor sesama sendiri dan semuanya senang berjalan lancar.
“Oleh itu, saya berterima kasih dengan TV9 kerana memberi kelonggaran itu.
“Termasuk pemilihan lagu. Saya tidak terlalu menumpukan pada hari raya kerana percaya peminat mahu mendengar lagu-lagu saya yang dekat dengan perasaan mereka.
“Namun, konsep raya tidak lari apabila masih mempersembahkan beberapa lagu raya,” katanya.
Pada sesi rakaman yang berlangsung hampir empat jam itu, Anuar dan penyanyi undangannya mendendangkan 13 lagu iaitu Bersabarlah Sayang, Permata, Bila Resah, Erti Kasih (Rem), Teman Terulung, Asmara Ini (Deja Moss), Lelaki Ini, Seloka Hari Raya (duet Rem/ Deja Moss), Ku Teruskan (Siti Sarah) dan Suasana Hari Raya.


1 comment:

azila said...

kat masjid mana anuar pergi selalu ya?
duduk kat shah alam tak pernah terserempak dengan dia, kak Gi dia selalulah terjumpa.