Tuesday, March 18, 2008

Anuar tolak undangan Raja Azmi - Berita Harian [17 Mac 2008]


Anuar tolak undangan Raja Azmi
Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)


“CUKUPLAH dua filem lakonan saya sebelum ini. Secara peribadi, saya merasakan berlakon tidak memberi kepuasan kepada saya.”

Itu reaksi penyanyi lelaki idaman gadis-gadis di Malaysia, Anuar Zain ketika diminta mengulas mengenai lamaran penerbit filem kontroversi, Raja Azmi yang mahu menawarkannya berlakon dalam filem terbarunya, Anu Dalam Botol.

Portal hiburan murai.com.my baru-baru ini melaporkan Anuar merupakan calon utama yang menjadi pilihan Raja Azmi dalam filem yang mengisahkan tentang seorang lelaki yang menjalani pembedahan pertukaran jantina itu.

Berkali-kali Anuar yang pernah membintangi filem Soal Hati (2000) dan Bintang Hati (2004) menegaskan, pintu hatinya belum terbuka lagi untuk kembali ke lokasi penggambaran filem.

Pada masa yang sama, lelaki yang memiliki nama penuh Shahrul Anuar Zain ini memberitahu, dia bukan dilahirkan sebagai seorang pelakon dan dia tidak mahu dilabel sebagai perosak.

“Berlakon tidak banyak beri saya kepuasan berbanding dengan dunia nyanyian. Lagipun, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang nyanyian.

“Seandainya kita tidak mendapat kepuasan dalam sesuatu yang kita lakukan, itu tandanya tiada keikhlasan dalam pekerjaan yang kita lakukan,” ujar Anuar menjelaskan pendiriannya.

Dan seperkara lagi, Anuar memohon pertimbangan daripada mana-mana syarikat produksi yang mungkin terlintas di fikiran mereka untuk menawarkannya berlakon supaya melupakan saja hasrat murni itu.

“Saya tetap dengan pendirian saya, tidak akan berlakon buat masa sekarang,” ujar Anuar sambil mengakui dia hanya mengetahui mengenai hasrat Raja Azmi selepas berita itu tersiar sebelum penerbit wanita itu menghubunginya dan membuat tawaran.

Bahkan, laporan berita itu juga kata Anuar, mencetus reaksi yang pelbagai daripada peminat setianya.

Sementara itu, Anuar melahirkan rasa gembiranya kerana album solo ketiganya, Anuar Zain yang memuatkan lagu-lagu hits seperti Lelaki Ini dan Ketulusan Hati mendapat tempat dan diterima ramai.

Menurut Anuar, dia difahamkan selepas empat album dipasarkan, album berkenaan sudah terjual 30,000 unit.

“Itu satu petanda yang baik walaupun banyak dugaan dan cabaran yang saya tempuhi sewaktu menghasilkan album ini.

“Pengorbanan saya dibalas dengan sokongan peminat setia saya yang tetap setia menanti kelahiran album saya selama lima tahun,” jelas Anuar merakamkan penghargaan kepada peminat-peminat setianya.

Meskipun angka jualan berkenaan masih belum memberi peluang kepada Anuar untuk menampung kos pelaburannya, namun, penyanyi tampan itu tidak ralat.

“Saya tidak kisah mengenai pulang kerana yang penting ialah kualiti yang ditampilkan telah membuatkan peminat saya cukup puas hati dan menerima album itu dengan hati yang terbuka,” kata Anuar yang bakal mempersembahkan lagu Ketulusan Hati pada acara Anugerah Bintang Popular 2007 (ABP2007), 30 Mac ini.

Hikmah di sebalik album itu juga, jelas Anuar, apabila album tersebut dicalonkan untuk Album Terbaik, Artis Lelaki Terbaik, Lagu Paling Popular (Lelaki Ini) dan Artis Lelaki Popular dalam Anugerah Planet Muzik 2008 (APM2008) yang bakal berlangsung pada 20 April depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bukan itu sahaja, apa membuatkannya begitu teruja, lagunya Tinggalkan Aku turut dimainkan di stesen-stesen radio Indonesia dan berjaya memasuki carta lagu popular di sana.

Mungkin tidak mahu menunggu lama melahirkan album seperti sebelum ini, jejaka yang dilahirkan pada 15 Februari 1970 ini memberitahu, dia kini sedang dalam proses mengumpul bahan untuk album terbarunya yang dijangka berada di pasaran tahun hadapan.

“Jika album ketiga saya lebih kepada produksi yang berskala besar, namun album seterusnya ini saya mahu tampil dengan produksi yang minimum.

“Maksud saya, melodi dan liriknya ringkas tetapi pada masa yang sama memberi kesan terhadap pendengar. Malah, melodi yang hanya diiringi dengan petikan piano sahaja juga sudah memadai bagi saya,” ujar pemilik vokal Keabadian Cinta ini lagi.

Saat ditanya adakah dia masih mahu mengekalkan ciptaan komposer Indonesia dalam buah tangan terbarunya nanti, Anuar menjelaskan kali ini, dia membuka peluang kepada semua komposer agar dapat mewarnai albumnya itu.

“Malah saya juga mengalu-alukan ciptaan komposer baru untuk saya muatkan dalam album saya kelak. Setakat ini, sudah ada beberapa lagu yang saya terima tetapi masih belum berkesempatan untuk mendengarnya lagi,” jelas anak kedua daripada lima beradik ini.

Pemenang Vokal Lelaki Terbaik AIM sebanyak dua kali ini juga memberitahu, untuk tahun ini dia akan ‘berehat’ daripada menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha selepas enam tahun terlibat menghiburkan peminatnya.

“Namun, sebagai pengganti, saya akan mengadakan satu showcase khas pada bulan Mei nanti. Hanya untuk satu malam sahaja dan saya berharap sebaik sahaja pengumuman dibuat nanti, peminat saya akan segera membuat tempahan. Takut nanti tak dapat tempat, kecewa pula,” katanya tersenyum.

Source: Utusan Malaysia Online