Wednesday, September 5, 2007

Guna khidmat komposer Indonesia demi kepuasan

HIP - Berita Harian (Malaysia)
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Album ‘keramat’ Anuar Zain akhiri penantian lima tahun peminat, tidak pinggirkan komposer tempatanKEBELAKANGAN ini bumi Jakarta bagaikan rumah kedua buat penyanyi Anuar Zain.

Selama tempoh itu, jauh Anuar berkelana, berulang alik dari Kuala Lumpur ke bumi bekas jajahan Belanda itu semata-mata untuk mencari material untuk buah tangan terbarunya yang bakal menyusul di pasaran tidak lama lagi.Biarpun jauh di sudut hatinya dia sedar bahawa tindakannya itu bakal mengundang persoalan namun atas nama inginkan kepuasan, jejaka idaman Malaya ini sanggup berdepan dengan apa saja. Malah dia juga sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk memenuhi keinginannya itu.

Bagi Anuar, biarlah jerih payah kesusahannya itu terbalas dengan sebuah album yang benar-benar berkualiti untuk penggemar yang begitu sabar dan setia menunggu kelahiran album itu. Dan penantian selama lima tahun berakhir apabila Anuar mengumumkan album ‘keramat’ itu sudah siap sepenuhnya dan akan menemui peminat awal September ini.
Justeru, sebelum hasilnya dinikmati pendengar, Anuar terlebih dulu memperdengarkan kesemua lagu yang terkandung dalam album itu kepada media dalam satu majlis penuh santai di restoran Enak, Starhill Gallery, di Bukit Bintang, baru-baru ini. Seperti yang diduga, apa yang dikorbankan penyanyi ini memang berbaloi. Hampir semua tetamu yang hadir larut dalam keasyikan ketika menghayati bait puitis lagu yang kebanyakannya itu dihasilkan oleh karyawan muzik Indonesia itu. Bukan saja liriknya yang menyentuh perasaan tetapi susunan muziknya yang mampu meremangkan bulu roma itu melambangkan betapa tingginya cita rasa penyanyi kacak ini.Cuma barangkali, apabila album ini menjengah di pasaran pasti akan ada orang mempertikaikan mengapa dia memilih komposer dari seberang mewarnai album ketiganya itu. Album berjudul Anuar Zain ini mengandungi tujuh lagu ciptaan komposer dari Indonesia sementara bakinya tiga lagu lagi dicipta oleh pencipta tempatan. Walaupun mungkin ada yang kurang senang dengan tindakannya itu namun bagi Anuar apa yang lebih dititikberatkan saat menghasilkan album itu adalah kepuasan.
“Album ini dihasilkan tanpa prejudis. Kesemua lagu yang dirakamkan memang bersesuaian dengan konsep album saya kali ini. Saya mahukan sesuatu yang berlainan dan berbeza daripada album terdahulu.
“Memang saya ada menerima banyak lagu dari komposer tempatan yang baik dan bagus. Tapi tak kena dengan konsep saya untuk album kali ini,” kata Anuar sekali gus menafikan dakwaan album ini menidakkan kemampuan komposer tempatan.Sambil menyifatkan peluang bekerjasama dengan komposer Indonesia sebagai salah satu cara menimba ilmu, Anuar juga berkata kolaborasi antara dua negara itu memberi pengalaman berharga buatnya sepanjang bergelar seorang penyanyi.
“Mereka tidak buat kerja asal boleh. Setiap lagu dihasilkan dengan penuh teliti dan mereka beri berdasarkan apa yang saya bayar. Dan saya akui bukannya murah untuk mendapatkan apa yang saya mahukan.“Namun, untuk mendapatkan kualiti yang bagus, saya tak kisah itu semua. Lagipun, bukan senang untuk bekerjasama dengan mereka,” jelas Anuar sambil memberitahu kos keseluruhan album itu sama dengan penghasilan empat buah album.Ditanya apakah dia tidak kisah sekiranya album ini gagal memenangi anugerah dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) akan datang kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan iaitu 60 peratus karya tempatan dan hanya 40 peratus ciptaan luar, Anuar berkata untuk album ini, anugerah bukan sesuatu yang dikejarnya.
“Saya tidak kisah andai album ini tidak dicalonkan dalam AIM kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah kepuasan diri sendiri dan juga peminat lebih penting. Tapi kalau dapat anugerah saya anggap itu satu bonus buat saya,” tegas pemenang AIM bagi kategori Vokal Lelaki Terbaik tahun 1999 dan 2003 ini. Tambahnya, untuk mendapatkan lagu daripada mereka juga cukup sukar.
“"Bukan senang nak buat album di Indonesia kerana kita kena ada network. They have to know you first. Mereka kena buat research dulu. Apaila mereka puas hati, barulah mereka beri lagu,” katanya yang menganggap album ini sebagai buah hatinya. Anuar turut menggambarkan album itu dihasilkan dengan penuh emosi.
“Memang sukar untuk menyiapkan album ini. Macam-macam perkara berlaku, ada banyak cerita di sebaliknya. Gaduh dengan orang sana, orang sini. Minta tolong itu dan ini untuk dapat yang terbaik.“Bukan itu saja, malah, proses rakaman album juga menjadi semakin sulit apabila saya sering merakamkan suara berulang-ulang terutama jika rasa tak puas hati. Saya akui saya memang cerewet tapi demi kebaikan, saya tak kisah melakukannya asalkan hasilnya memuaskan hati,” ujarnya yang semakin meletup dengan single terbaru berjudul Lelaki Ini.Menyenangi konsep santai, Anuar berkata imej itulah yang akan mewarnai kemunculannya dalam album ini.“Saya lebih senang dengan imej sebegini, malah untuk album iaitu dari sampul kulit sampailah ke pembungkusannya, semuanya menggunakan konsep sama kerana pada saya ia lebih pratikal,” katanya mengenai album yang diterbitkan syarikatnya sendiri dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

No comments: