Saturday, August 25, 2007

Anuar Zain perkenalkan 'buah hati' baru

Anuar Zain bersama Sandy Monteiro (pengedar Universal Music)
ketika sidang media di Restoran Enak, Starhill Gallery(Foto The Star oleh M.Azhar Arif)


SETELAH lima tahun melalui kepayahan bagi menghasilkan album terbarunya, Anuar Zain kini tampil dengan album yang berjudul "Anuar Zain" yang dinanti-nantikan oleh semua peminatnya.
Baginya, bukan mudah untuk menyiapkan album tersebut yang dianggap sebagai 'buah hati'nya kerana beliau terpaksa berulang-alik sebanyak lima hingga enam kali dari Malaysia ke Indonesia untuk memastikan beliau benar-benar puas hati dengan apa yang diinginkan.
Sebelum ini, beliau bukanlah mahu lari dari pihak media, namun Anuar sebenarnya tidak mahu menonjolkan dirinya tanpa menghasilkan 'sesuatu' yang lebih bermakna dan memuaskan hati semua orang terutama peminatnya.
'Buah hati' ketiganya yang diedarkan oleh Universal Music (M) Sdn Bhd ini dijadualkan menemui pasaran pada awal September depan.
Album 46 minit 59 saat ini memuatkan sepuluh buah lagu termasuk lagu Lelaki Ini, 'single' pertama dari album tersebut yang sudah berkumandang di stesen-stesen radio seluruh Malaysia.
Selain lagu Lelaki Ini yang semakin mendapat perhatian pendengar di corong radio, antara lagu lain yang dimuatkan dalam album tersebut adalah lagu Tinggalkan Aku, Kau Bunga Cintaku dan Jangan Pernah Lagi.
Di dalam album pop solo ketiga ini, tujuh buah lagu merupakan hasil karya komposer dari Indonesia sementara tiga buah lagu lagi adalah hasil karya komposer dari Malaysia.

Hanya satu lagu disusun oleh Jenny Chin dari Malaysia manakala yang lain merupakan susunan muzik dari penggubah Indonesia.
"Album dilahirkan tanpa prejudis. Kita terima mana-mana lagu. Saya ada minta lagu dari Filipina tapi tiada rezeki.
"Saya pilih lagu-lagu tersebut (kebanyakannya dari Indonesia) kerana bertepatan dengan konsep dan lagu yang saya suka dan saya nak cuba sesuatu yang berbeza dan feel yang berlainan dari dulu," kata Anuar semasa sesi pra-dengar album "Anuar Zain" di Restoran Enak, Starhill Gallery semalam.
Gabungan komposer dan susunan muzik dari Malaysia dan Indonesia memberikan citarasa yang berbeza kepada album ini berbanding dengan dua albumnya sebelum ini.
"Lagu-lagu dalam album saya ibarat seperti Restoran Enak yang menghidangkan makanan dari Malaysia dan Indonesia," ujar penyanyi yang berlesung pipit ini sambil tersenyum.
Album yang menelan belanja yang banyak ini kerana mendapatkan khidmat pemuzik dari Indonesia menyerlahkan kematangan Anuar bukan sahaja dari segi vokal tetapi juga pada muziknya.
"Harga yang saya bayar kepada mereka tak murah kerana ikut gred (mutu dan kualiti). Bayaran memang mahal dari segi publishing kerana sebuah lagu sahaja dalam RM15 ribu.
"Bajet yang digunakan adalah 'empat kali ganda' buat album lepas sebab kalau tak puas hati, kena re-do dan bayaran bertambah," terang Anuar mengenai perbelanjaan yang diperuntukkan ketika membuat lagu di Indonesia.
Ia tertumpu kepada muzik secara 'live' dengan instrumen seperti 'horns' bersama 'strings' (biola, 'viola', 'cello', 'contra bass') dan muzik terprogram yang minima, mengingatkan kembali kepada susunan muzik tahun 70'an seperti dalam lagu Tak Lelah, Hanya Milikmu dan Jangan Pernah Lagi.

Sebelum membuat perancangan untuk membikin album menggunakan khidmat komposer dan susunan dari Indonesia, Anuar membuat penyelidikan dahulu tentang lagu-lagu dan alat muzik seperti 'strings' dari negara 'seberang' melalui rakannya yang berada di sana.
Antara mereka yang menyumbangkan tenaga dalam album kesayangan Anuar ini adalah Tengku Shafick (komposer dan penulis lirik), Andi Rianto (susunan lagu), kumpulan Numata (komposer,penulis lirik dan susunan lagu), Irwan Simanjuntak (penulis lirik, susunan lagu dan Nico Ajie Bandy (komposer dan penulis lirik).

Manakala pemuzik dari Malaysia pula adalah Sharon Paul (komposer), Omar K (komposer dan penulis lirik), Jenny Chin (susunan lagu) dan Azalea (komposer dan penulis lirik).

"Mereka tidak cincai"

Menurut Anuar, bukan mudah untuk mendapatkan kerjasama pemuzik dari Indonesia kerana mereka lebih teliti dan memakan banyak masa untuk menghasilkan lagu-lagunya.
"Bukan senang nak buat album di Indonesia kerana kita kena ada network. They have to know you first. Diorang kena buat research dulu baru boleh bagi lagu.
"Mereka detail dan buat kerja berdasarkan berapa yang kita bayar. Kalau ada nama Adi Riyanto di situ, dia akan buat dengan elok dan tidak cincai.
"Yang bagusnya, mereka tidak ego dan mementingkan kepuasatan hati kita," cerita Anuar yang berharap dapat menggunakan khidmat pemuzik dari Indonesia lagi dalam menghasilkan albumnya yang akan datang.
Anuar akui bahawa masa yang diambil ketika dia berada di Indonesia kadangkala terbuang begitu sahaja kerana masalah 'mis-communication' dan masalah-masalah lain.
"Mereka utamakan artis mereka dulu. Bila mereka free baru mereka buat untuk kita.
"Mereka juga sibuk non-stop. Kena tunggu enam bulan kerana mereka juga sibuk dengan Indonesian Idol.
"Mereka begitu profesional, saya suka kerja dengan mereka," tambah Anuar yang turut meminta lagu daripada Melly Goeslow tetapi gagal kerana harga yang diletakkan terlalu tinggi dan membatasi kemampuannya.
Anuar turut menyumbangkan lirik bagi lagu Tinggalkan aku dalam albumnya ini menyatakan bahawa dia hanya menambah lirik daripada Irwan Simanjuntak.

Cerewet yang positif

Anuar dikatakan begitu cerewet dalam menghasilkan albumnya sehingga lima tahun baru dia berjaya menampilkan album barunya.
Penyanyi yang pernah memenangi anugerah Vokal Lelaki Pilihan dalam Anugerah Era 2005 ini bagaimanapun memberitahu bahawa cerewetnya adalah cerewet yang positif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.
"Cerewet ada positif dan negatif. Untuk capai penghasilan yang baik dan bagus, result yang bagus, cerewet adalah sesuatu yang bagus," kata Anuar yang membayangkan pengalamannya yang pernah kecewa dengan cinta dahulu semasa membuat rakaman lagu-lagu dalam album ini.
Masih mencari cinta
Dengan usianya yang sudah mencapai 37 tahun, jejaka yang mempunyai vokal yang mantap ketika mengalunkan lagu ini mengaku masih solo lantaran terlalu sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi.
"Belum jumpa yang sesuai. Saya cerewet kerana harus ada yang boleh berbudi bicara, baik hati, suka berkawan dan pandai ambil hati orang tua saya.
"Kalau cantik tapi tak pandai berkomunikasi buat apa..Kalau boleh biarlah dia dapat menjadi isteri, kekasih dan sahabat saya," kata Anuar yang kecewa setelah lagu Lelaki Ini yang baru disiarkan di radio dimuat turun secara haram oleh pelayar-pelayar internet.



Source: mStar Online - 24-08-2007 01:49:23 PM by SITI AZIRA ABD AZIZ

No comments: